Deutschland online bookmaker http://artbetting.de/bet365/ 100% Bonus.

Program Pendidikan PPAA

Program Pendidikan PPAA
E-mail Cetak PDF
1. Pengenalan
Pusat Pendidikan Al Amin (PPAA) yang terdiri daripada Sekolah Rendah Islam Al Amin Kuala Lumpur (SRIAA KL ), Sekolah Rendah Islam Al Amin Gombak (SRIAAG) dan Sekolah Menengah Islam Al Amin Gombak (SMIAAG) telah melaksanakan sistem pendidikan yang bersepadu dari awal penubuhannya. Pendidikan bersepadu di PPAA bukan sahaja menyediakan dua aliran kurikulum yang terdiri daripada ilmu ‘aqli dan ilmu naqli secara selari tetapi memastikan ada usaha untuk menyepadukan antara kedua-duanya. Usaha ini bermaksud kurikulum ilmu naqli dan aplikasinya diterjemahkan ke dalam suasana yang berubah-ubah manakala kurikulum ilmu ‘aqli dan penyampaiannya diolah supaya menepati pandangan alam Islam.

2. Falsafah Program
PPAA mendokong usaha pendidikan yang menyeluruh, seimbang, dinamik, relevan dan kontemporari sebagai pendekatan yang terbaik untuk membentuk generasi Salih wa Muslih supaya mampu melaksanakan peranan sebagai ‘abd dan khalifah disamping berupaya berdepan dengan cabaran-cabaran kontemporari dan masa hadapan.

3. Rangka Konsepsual Program
Program pendidikan PPAA dirangka supaya merangkumi aspek-aspek berikut :

3.1. Menyeluruh
Program Pendidikan PPAA berjalan di sepanjang masa semasa murid dan pelajar berada di PPAA, di dalam dan di luar bilik darjah. Pada masa yang sama, program kurikulum, dan ko kurikulum saling berperanan untuk membentuk pelajar menjadi Salih Wa Muslih. Peranan ini turut disokong oleh program-program ekstra kurikulum PPAA yang lain seperti makan bersama, salat berjamaah, tarbiyyah, dan bi‘ah salihah. Selain daripada itu, ibubapa khususnya murid-murid SRIAA, melaporkan sahsiah anak-anak semasa di rumah setiap penggal untuk diberikan gred amali untuk mata pelajaran Tasawwur Islami.
3.2. Seimbang
Program kurikulum, ko kurikulum dan ekstra kurikulum di PPAA memberi penekanan kepada keseimbangan di antara ruh, ‘aql dan jasad, teori dan amali, ilmu ‘aqli dan ilmu naqli, serta pendekatan tradisi dan kontemporari. Pendekatan ini bertujuan untuk menyedia dan menghasilkan produk yang sejahtera dan merasa selesa untuk berada di dalam situasi yang pelbagai.

3.3. Dinamik dan Kontemporari
Program pendidikan PPAA dipastikan bergerak selari dengan perubahan-perubahan setempat atau global. PPAA berpegang kepada prinsip mengekalkan ‘the ends’ seandainya ‘the means’ berubah-ubah termasuk kurikulum selagi perubahan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Dinamika kurikulum, ko kurikulum dan ektra kurikulum adalah wajar supaya murid dan pelajar dibekalkan dengan warisan tradisi disamping mempunyai asas-asas kemahiran untuk berdepan dengan cabaran kontemporari.
3.4. Relevan
Pendekatan yang relevan memastikan kandungan kurikulum khususnya ilmu naqli bersesuaian dengan permasalahan fiqh kontemporari selain disesuaikan dengan peringkat umur pelajar Kaedah P&P ilmu naqli juga menggunakan kaedah-kaedah terkini disamping memastikan tiada pertindihan dan pengulangan serta menitik beratkan pendekatan kreatif, inovatif, dan analitikal.

4. Kurikulum : Sejarah Ringkas Perkembangan Kurikulum PPAA
Kurikulum ini berasaskan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Kementerian Pendidikan beserta kurikulum yang dibentuk khas oleh PPAA.

4.1. Dari Awal Penubuhan sehingga 2001

4.1.1 Sekolah Rendah Islam Al Amin mengguna pakai kurikulum yang berasaskan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Kementerian Pendidikan sebagaimana
adanya secara selari dengan kurikulum dinniyah yang terdiri daripada mata pelajaran ‘aqidah, ‘ibadah, akhlaq dan sirah disamping Bahasa Arab, al Qur’an
(Hifz & Tilawah), Tajwid dan Tulisan Jawi.
4.1.2
Sekolah Menengah Islam Al Amin mengguna pakai kurikulum nasional iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sebagaimana adanya secara
selari dengan kurikulum diniyyah yang terdiri daripada mata pelajaran ‘aqidah, ‘ibadah, sirah, akhlaq, Fikrah, al Qur’an & Tafsir, al Hadith & syarah, serta Tajwid, Tilawah dan Hifz.

4.2. Bermula Tahun 2002 : PROJEK MERKURI
Bermula pada tahun 2002, satu perubahan kurikulum telah berlaku kepada kurikulum PPAA disamping mengekalkan mata pelajaran Tulisan Jawi untuk Sekolah Rendah Al Amin dan mata pelajaran Tajwid, Tilawah dan Hifz untuk kedua-dua Sekolah Rendah dan Menengah Islam Al Amin. Perubahan kurikulum PPAA adalah seperti dijelaskan dalam Projek Merkuri.

4.2.1
Matapelajaran Ilmu Teras (Diniyyah/Shari’ah)
Matapelajaran ini digantikan dengan Tasawwur Islami dengan ciri-ciri utama yang terdiri daripada :
a) Tiada pemisahan secara tradisi di antara mata pelajaran ‘aqidah, fiqh, sirah, dan akhlaq.

b) Memberi penekanan ke atas prinsip, konsep, dan hikmah dalam pengajaran dan pembelajaran.
c) Memperkukuhkan usaha untuk menanam kecintaan, penghayatan, dan ‘izzah kepada Islam.
d) Melahirkan shabab-du‘at yang berbekalkan dengan kemahiran-kemahiran untuk berdepan dengan cabaran kontemporari (melalui kelab, persatuan, usrah dan tarbiyah, serta shabab fatayat).
e) Melahirkan shabab-du‘at yang berbekalkan dengan kemahiran-kemahiran untuk berdepan dengan cabaran kontemporari (melalui kelab, persatuan, usrah
dan tarbiyah, serta shabab fatayat).
f) Pentaksiran pelajar berdasarkan penulisan, lisan, amali, dan laporan dari guru dan ibubapa.
4.2.2. Matapelajaran KBSR dan KBSM.
Falsafah, konsep, objektif dan kandungan diberi pendekatan dari perspektif Islam. Ia melibatkan perlaksanaan Islamisasi ilmu keatas setiap matapelajaran.

4.2.3. Matapelajaran Bahasa Arab
Penggunaan Sukatan Pelajaran dan buku teks baru untuk Bahasa bagi Sekolah Rendah.

4.2.4. Matapelajaran IT
Diwajibkan kepada SEMUA murid, kecuali murid tahun 6, tingkatan 4 dan tingkatan 5.


4.2.5. Matapelajaran Al Qur’an dan Hafazan
Penggunaan kaedah Al Barqi. Penyelarasan antara peringkat rendah dan menengah.

4.3. Program Penghayatan Akademik
PPAA juga menganjurkan program-program penghayatan akademik untuk mengukuhkan lagi kefahaman, penghayatan dan kemahiran terhadap subjek yang dipelajari. Program-program ini menyediakan aktiviti untuk memberi pelajar-pelajar peluang menggunakan daya kreativiti selain daripada mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah dipelajari.

4.3.1. Meraikan Hari Kebesaran Islam
• Maulid al Rasul SAW
• Hijrah al Rasul SAW
• Isra’ Mi‘raj
• Ihya Ramadhan (I’tikaf , Tilawah, Iftar Jama‘i)

4.3.2. Amali dan Pengukuhan
• Amali Salat Berjamaah
• Amali Wudu’
• Tilawah dan Hifz al Qur’an
• Program Khatam al Qur’an

4.3.3. Program Kecemerlangan Akademik
• Pelunjuran
• Program Ulangkaji Intensif (program berkumpulan yang menyeluruh berasaskan pembelajaran output)
• Aktiviti Kelab Kelas ( Kerjasama dengan PIBG menganjurkan program motivasi, bengkel menjawab soalan, kelas pengukuhan, kerjaya)

4.3.4. Minggu Bahasa
• Aktiviti-aktiviti Kelab Bahasa
5. Ko Kurikulum
Kurikulum ini dibentuk untuk menyokong pendidikan selain kognitif iaitu afektif dan psikomotor yang merangkumi program dan aktiviti yang diusahakan supaya dapat berperanan untuk menterjemahkan teori kepada amali, serta melahirkan kreativiti dan inovasi.
5.1. Persatuan dan Kelab
Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Matematik, Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Bahasa Arab, Persatuan Sains
Kelab Bola Sepak, Kelab Bola Jaring, Kelab Ping Pong, Kelab Catur, Kelab Jahitan, Kelab Kebajikan, Kelab Masakan, Kelab Pencinta Alam, Kelab Pidato, Kelab Penerbitan, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya, Kelab Seni dan Kraf, Kelab ICT
5.2. Badan Beruniform
Kadet Remaja Sekolah, Kadet Pertahanan Awam, Kadet Polis, Puteri Islam
5.3. Sukan dan Permainan
Bola Sepak, Bola Jaring, Ping Pong
5.4. Malam Seni
Penganjuran Malam Seni setiap dua tahun bagi SRIAA dan berselang tahun
bagi banin dan bannat SMIAA memberi peluang kepada murid dan pelajar
untuk mengasah dan menyerlahkan bakat seni masing-masing.

6. Ekstra Kurikulum (Program Al Amin ++)
Kejayaan program pendidikan di PPAA banyak bergantung kepada program-program sokongan yang berada di luar skop kurikulum dan ko kurikulum. Fokus utama program adalah ke arah membangunkan sahsiah, kepimpinan serta kepekaan terhadap permasalahan masyarakat dan ummah.

6.1. Program Tarbiyyah Al-Amin
Sekolah Rendah Islam Al Amin dan Sekolah Menengah Islam Al Amin menganjurkan program Tarbiyyah yang merangkumi usrah, daurah, qiam al lail, dan mukhayyam serta menggalakkan puasa pada hari Ithnin dan Khamis sementara program hari Jumaat yang dikhususkan untuk murid perempuan, memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah pelajar.
6.2. Program Biah Salihah Al-Amin
PPAA berusaha mewujudkan biah salihah bagi menjamin supaya perlakuan sentiasa terkawal dalam batas yang dibenarkan oleh Islam.
6.3. Program Budaya Cemerlang Al-Amin
PPAA menyenaraikan dua puluh budaya yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh warga PPAA khususnya, murid dan pelajar.
6.4. Program bersama masyarakat Al-Amin – school social responsibility (SSR)
Sekolah Menengah pula menganjurkan program Wafd al Amin yang berkonsepkan khidmat masyarakat bagi lepasan tingkatan tiga, program bersama JIM pada malam 31 Ogos dengan cara mengedar leaflet tentang jauhi zina. SMIAA juga sentiasa bersama untuk memperingati Hari Palestin.
6.5. Program Kepimpinan Al-Amin

6.5.1. Badan Nuqaba
6.5.2. Badan Wakil Pelajar
6.5.3. Pergerakan Andalus
7. Matlamat Akhir Program Pendidikan PPAA
7.1. Sekolah Rendah Al Amin

7.1.1. Murid berupaya untuk mencapai tahap akademik yang sesuai dan mencukupi untuk melanjutkan pengajian ke sekolah menengah.
7.1.2 Murid berupaya untuk mengenalpasti amalan wajib yang menjadi fard ‘ayn baginya.
7.1.3. Murid boleh membezakan amalan baik dan buruk mengikut prinsip dan nilai Islam.
7.1.4. Murid terdorong untuk melaksanakan amal salih dan tanggungjawab sebagai seorang Muslih.
7.1.5. Murid menzahirkan ‘izzah sebagai seorang Islam dengan mempamerkan identiti dan sahsiah sebagai seorang Muslim
7.1.6. Murid berupaya untuk mengemukan pandangan yang rasional dan kritis terhadap sesuatu isu kontemporari.
7.1.7. Murid berupaya memahami Islam sebagai satu cara hidup.
7.2. Sekolah Menengah Al Amin

7.2.1. Pelajar berupaya untuk mencapai tahap akademik yang sesuai dan mencukupi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari.
7.2.2 Pelajar sentiasa melaksanakan amalan wajib yang menjadi fard ‘ayn baginya.
7.2.3 Pelajar berupaya mempunyai jati diri dan mempamerkan akhlaq sebagai seorang Muslim.
7.2.4 Pelajar berupaya untuk mengemukakan pandangan alam Islamik (Islamic worldview) yang rasional dan kritis terhadap sesuatu isu kontemporari.
7.2.5 Pelajar berupaya mempamerkan kepimpinan dalam kerja berpasukan, dapat berkomunikasi dengan baik sesama mereka dan dengan mereka yang lebih dewasa.
7.2.6 Pelajar memiliki aqidah yang sejahtera dan ‘ibadah yang sahih.
7.2.7. Pelajar berupaya menghayati kesyumulan Islam sebagai satu cara hidup yang diredhai Allah SWT.
7.2.8. Pelajar menzahirkan ‘izzah dengan Islam serta sumbangannya kepada peradaban manusia.
7.2.9. Pelajar berupaya menguasai konsep-konsep asas, prinsip-prinsip, dan nilai-nilai Islam serta mempunyai kesedaran untuk meningkat dan mempelbagaikan ilmu untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pemikiran.
7.2.10. Pelajar terdorong untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘abd dan khalifah ke arah pembaikan diri, masyarakat dan ummah.
8. Kesimpulan
Program Pendidikan PPAA dirangka supaya dapat merealisasikan Falsafah, Visi dan Misi PPAA. Usaha ini menuntut sokongan dan kerjasama dari seluruh warga PPAA.

Download Template Joomla 3.0 free theme.

Statistik Pengunjung

Hari ini: 59
Minggu Ini: 270
Bulan Ini: 1512
Bulan Kemarin: 2401
Total: 1066366

Hubungi Al-Amin

Hubungi Kami untuk sebarang soalan atau pertanyaan.

  • Hot line: 03-6178 0884